- Marina Mahathir sebak Kassim ditahan
- Farah Noor Samat | 1:59PM Mac 27 2014
- Aktivis Marina Mahathir hari ini melahirkan asa tidak puas hatinya berikutan penahanan dan pertuduhan terhadap pemikir kontroversi Kassim Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah, Putrajaya, hari ini.
Kassim, 80, semalam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan berdepan dua pertuduhan, antaranya ekoran pandangannya berkaitan hadis.
"Mereka (JAWI) soal siasat orang tua (Kassim Ahmad) macam ini sampai pukul 4 pagi, macam mana?
“Ini hendak reman satu minggu kononnya, saya rasa tak patutlah," katanya ketika diminta mengulas nasib Kassim itu.
Suaranya bergetar ketika ditemubual, bahkan matanya agak merah, berkemungkinan menahan sebak ke atas penahanan yang dikenakan kepada Kassim pagi tadi.
Marina, anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hadir untuk menjamin Kassim kira-kira jam 11:40 pagi tadi setelah semua teman-teman Kassim tidak layak berbuat jaminan.
Hakim syarie Umammuddin Yunus menetapkan pihak yang mahu mengikat jamin mesti bermastautin di Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, pengerusi penganjur seminar pemikiran Kassim Ahmad, Nik Abdul Aziz Nik Hassan (kanan) yang hadir di mahkamah pagi tadi, sedih kerana JAWI didakwanya tidak memaklumkan kepada pihak keluarga sepanjang Kassim ditahan sejak semalam.
"Saya rasa sedikit sedih, anak dia (Kassim) pun tidak tahu di mana tempat arah JAWI nak bawa (Kassim) untuk dibicarakan. Sepatutnya ahli keluarga dan teman rapat perlu tahu supaya dapat hadir," katanya.
Nik Abdul Aziz berkata beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan mendakwa Kassim di mahkamah kerana berpendapat perkara itu boleh ditangani melalui penghujahan dengan Kassim.
"Pendekatan terbaik melalui perbincangan, jika saya seorang pendakwah, cara yang baiknya saya akan gunakan berbincang dengan Kassim Ahmad bukan dengan cara ini (pertuduhan)," katanya kepadaMalaysiakini ketika proses ikatjamin Kassim di Mahkamah Tinggi Syariah.
Manakala seorang lagi ahli jawatankuasa penganjur seminar pemikiran Kassim Ahmad, Norhayati Karpawi (kiri) berkata, syarat ikatjamin yang hanya diperuntukkan kepada penduduk bermastautin di Wilayah Persekutuan, juga dianggap menyukarkan proses ikatjamin Kassim pagi tadi.
Berikutan itu, proses ikatjamin tersebut berlanjutan sehingga tiga jam dari waktu mahkamah memutuskannya.
"Kita yang hadir kebanyakannya orang Selangor, kalau ahli keluarga dia datang pun tak dapat ikatjamin. Pengerusi penganjur seminar pun tidak dapat hendak ikatjamin beliau. Jadi saya dan Marina (Mahathir) lah yang ikatjamin Kassim," katanya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Kassim ditahan oleh sepasukan 10 anggota penguatkuasa agama serta beberapa anggota polis, di kediamannya di Kulim, Kedah.
Kassim, dalam seminar pemikirannya pada 16 Februari lalu, mencetuskan kontroversi apabila menyamakan ulama dengan "kasta paderi", menolak syahadah kedua dan berpendapat rambut bukan aurat wanita.
Kenyataan itu dikritik meluas pelbagai pihak termasuk parti politik, NGO dan para ulama.
Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang' berlangsung selama dua hari di Yayasan Kepimpinan Perdana - yang dinaungi Mahathir.
No comments:
Post a Comment