KUALA TERENGGANU –  Tiga peniaga pasar malam ditahan untuk siasatan dipercayai terlibat menyebabkan kes keracunan makanan sehingga menyebabkan 101 pesakit terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, pihaknya turut mengarahkan supaya operasi peniaga terbabit dihentikan untuk tempoh seminggu bagi membolehkan kerja pembersihan dapur dan pendidikan kesihatan diberikan kepada mereka.

“Kita juga telah ambil 31 sampel makanan termasuklah peralatan dapur dan beberapa perkara yang berkaitan milik ketiga-tiga peniaga itu untuk dibuat ujian makmal,” katanya.

Seramai 101 pesakit terdiri daripada 68 pesakit biasa dan 33 pesakit luar dirawat di HSNZ akibat keracunan makanan yang dibeli di pasar malam sejak 28 Februari sehingga semalam.

“Daripada jumlah pesakit yang dirawat di hospital berkenaan, lapan daripada mereka telah dibenarkan keluar semalam manakala selebihnya ditempatkan di wad namun kesemuanya dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua pesakit terbabit mengalami simptom yang hampir sama iaitu muntah-muntah, cirit-birit atau kedua-duanya sekali dan dipercayai disebabkan makanan dari pasar malam Dataran Shah Bandar dan Padang Hiliran.

“Sampel najis juga diambil daripada 10 orang pesakit, sembilan daripadanya didapati positif bakteria ‘salmonella’ iaitu sejenis bakteria yang dipercayai berpunca daripada daging, telur atau najis ayam.

“Pihak jabatan turut mendapati, hampir kesemua pesakit mengambil empat jenis makanan yang sama iaitu nasi goreng merah, nasi goreng putih, kuetiau goreng dan mi goreng yang mengandungi ayam atau telur ayam dipercayai dari dua pasar malam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Bilik Mesyuarat HSNZ di sini, semalam.

Sinar Harian semalam melaporkan kes keracunan makanan tersebut mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilme yang dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam ketika dalam perjalanan ke HSNZ.